BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

06 November, 2008

Suasana Minggu Akhir...

6 November 2008 - Keadaan sekolah agak sibuk apabila pelajar-pelajar mula menghantar buku teks 2008 dan menerima buku teks 2009. Penyerahan buku teks melibatkan semua pelajar secara berperingkat kecuali pelajar tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM pada hari Selasa minggu depan. Bilik buku teks menjadi tumpuan sehari dua ini hingga minggu hadapan.

Pelajar juga sibuk mengisi Buku Rekod Penilaian Kokurikulum Sekolah Menengah dan mula memburu guru-guru penasihat persatuan dan badan unit uniform. Pelajar-pelajar yang menerima bantuan pakaian seragam juga sedang menjalani sesi mengukur pakaian seragam oleh syarikat yang memenangi tender. Menurut sumber lebih dari 500 pelajar layak menerima bantuan tersebut.

Kelab Guru dan Staf akan mengadakan majlis jamuan akhir tahun di Kulim Golf Resort sekitar 2.00 petang ini bagi meraikan guru-guru yang sudah bertukar dan menerima kanaikan pangkat serta staf yang bersara. Semoga majlis ini berjalan lancar, InsyaAllah.

09 Oktober, 2008

Bacaan Yasin dan Solat Hajat: Satu Usaha Berbentuk Rohani






Surau al-Quds - Awal tengah hari kelmarin, satu majlis diadakan sempena kedatangan PMR tahun 2008. Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG, Panatia Agama Islam dan Kaunseling telah menganjurkan majlis bacaan Yasin dan solat hajat disamping solat Zohor berjemaah. Sambutan para waris begitu mengalakkan hingga menyebabkan ruang surau yang terhad begitu sesak. Alhamdulilah, segala berjalan dengan sempurna. Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, ucapan Pengerusi PIBG dan wakil pengurusan sekolah. Selepas majlis selesai, pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan mendapat sumbangan air mineral, kismis dan pensil.

Semoga pelajar-pelajar akan terus berusaha walaupun PMR akan bermula pada hari Isnin ini. Saya mewakili semua guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan lakukan yang terbaik demi masa depan anda.


29 Ogos, 2008

Sejarah Jalur Gemilang



Surat Hamzah ketika menghantar rekaan bendera Malaysia.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.
Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.
Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.



Mohamed Hamzah





Jalur Gemilang dalam catatan sejarah

1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.

2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.

3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.
4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006.



Fakta Jalur Gemilang

· Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.

· Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

· Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.

· 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

· Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

· Maksud lambang dan warna; - Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini. - Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara. - Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.



MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!



PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Rasional Logo
Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.
3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.
Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE 51
Daripada Seluruh Warga SMK Mahang

15 Mei, 2008

Terima Kasih Cikgu!!

PENGENALAN HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


LOGO HARI GURU



Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.

Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.

Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.

Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.


OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA

Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.

Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.

Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.


IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


PERUTUSAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2008

GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG

24 April, 2008

Betapa Kerdilnya Manusia

Lihat saiz bumi berbanding planet Marikh, mercury dan pluto. Bumi lebih besar sedikit saja berbanding Venus.


Ini pula kedudukan saiz bumi berbanding Planet Uranus dan Neptune. Kemudian lihat pula planet Jupiter dan Saturn.


Ini pula saiz matahari berbanding planet2 lain termasukla bumi kita yang tercinta. Harap2 nampak yang mana satu Bumi…


Ha, ini pula planet Archurus, lebih besar daripada Pollux, lebih besar daripada Sirlus dan jauuuuuuuuuh lebih besar daripada matahari!!!

Mana bumi?


Yang terakhir ni gambar Antares, bintang yang paling menyinar dan bercahaya di angkasaraya. Di sebelahnya Betelgeuse. saiz matahari sudah terlalu kecil untuk dilihat. Apatah lagi bumi tempat kediaman kita!!!

KESIMPULAN
Itulah penciptaan ALLAH Yang Maha Mencipta, Maha Besar, Maha segala-galanya. Ia juga mengajar kita bahawa betapa kerdilnya manusia di sisi Allah. Maha Hebatnya Ciptaan Allah SWT.

26 Mac, 2008

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan,peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan,kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yangkelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kuih-kuih yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan.

Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

15 Mac, 2008

Some jokes to brighten your day! (II)

A mother and son were doing dishes while the father and daughter were watching TV in the living room. Suddenly, there was a loud crash of breaking plates, Then complete silence. The daughter turned to look at her father.
Daughter: It's mummy!
Father: How do you know?
Daughter: She didn't say anything.

-----------------------------------------------

Man: How old is your father?
Boy: As old as me
Man: How can that be?
Boy: He became a father only when I was born

-----------------------------------------------

Teacher: Dol, your composition on 'My Cat' is exactly the same as your brother's. Did u copy his?
Simon: No, teacher, it's the same cat!

-----------------------------------------------

A boy came home from school with his exam results.
'What did u get?' asked his father.
'My marks are under water,' said the boy.
'What do u mean 'under water'?'
'They are all below 'C' level'

Panduan Menurunkan Berat Badan

Dr. Pakar,

BARU-BARU ini saya mengalami pertambahan berat badan yang amat ketara dan keadaan ini amat merunsingkan saya. Saya cuba mengawal berat badan dengan cara berdiet tetapi hasilnya sama seperti sediakala. Saya berusia 29 tahun dan berat badan saya sekarang mencecah 98 kilogram.
Masalahnya, saya tidak pasti dengan pemakanan yang sepatutnya saya ambil. Besar harapan saya agar doktor boleh memberikan menu yang sesuai sebagai diet saya selama seminggu. Apakah makanan yang perlu saya tambahkan ke dalam diet dan apakah pula makanan yang perlu dielakkan. Sekian, terima kasih.
DEWASA BERAT

Dewasa Berat,

Bergantung kepada ketinggian tubuh anda (dan bukannya umur anda), doktor akan menentukan sama ada anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes menggunakan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI).
Saya anggarkan, dengan berat badan 98 kg, anda mungkin termasuk dalam kategori obes. Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh anda jadikan rujukan untuk mengurangkan berat badan.

Bahagian utama hidangan anda hendaklah terdiri daripada makanan berasaskan kanji seperti roti, bijirin, kentang dan nasi; buah-buahan dan sayur-sayuran.
* Kurangkan sebanyak mungkin lemak daripada diet anda. Lemak mengandungi lebih banyak kalori - sehingga dua kali ganda berbanding makanan berkanji atau berprotein dalam kuantiti/berat yang sama.

Tip: Gunakan sapuan rendah lemak pada roti anda; apabila memasak kurangkan penggunaan minyak; panggang makanan di sebalik menggorengnya; buangkan lebihan lemak daripada daging dan pilih daging tanpa lemak dalam potongan yang lebih kecil.
Perhatikan juga lemak tersembunyi yang terdapat di dalam kek, biskut, coklat, kerepek dan pai.

Ambil versi susu, keju, yogurt dan lain-lain yang rendah lemak. Ia mempunyai kandungan kalsium yang sama nilainya dengan versi lemak penuh tetapi kurang kalori.

Umumnya, makanan lemak rendah adalah yang terbaik. Tetapi haruslah diingat, sesetengah makanan dan minuman rendah lemak mempunyai kandungan kalori yang tinggi seperti alkohol, minuman manis dan gula-gula. Jadikan air masak sebagai minuman utama anda berbanding minuman ringan.

* Makan sebanyak tiga hidangan sihat sehari termasuk bersarapan adalah yang terbaik. Makan setiap hidangan secara perlahan-lahan. Jangan melangkau hidangan anda kerana ia hanya akan membuatkan anda menjadi bertambah lapar.
Akibatnya, ia merangsang anda untuk lebih memikirkan tentang makanan, sekali gus menjadikan anda lebih cenderung untuk makan secara berlebihan pada waktu malam. Ini tidak baik untuk berat badan yang ideal. Elakkan mengudap snek/makanan ringan di antara waktu makan.

* Lakukan aktiviti fizikal sekerap yang boleh. Jiika anda tidak biasa melakukannya, mulakan dengan berjalan pantas lebih 30 minit setiap hari dan tingkatkannya dari situ.
Sebarang tambahan baik dari segi berjalan, menari, berenang, berbasikal dan sebagainya adalah digalakkan. Cuba tingkatkan jumlah aktiviti yang anda lakukan pada setiap minggu sehingga anda melakukan antara 60 hingga 90 minit, sekurang-kurangnya tiga kali/hari seminggu.

* Realistik. Anda tidak perlu menyasarkan berat badan yang sempurna. Sekiranya anda tergolong dalam kategori berat badan berlebihan atau obes, anda akan mendapat banyak faedah kesihatan daripada 5 hingga 10 peratus penurunan berat badan anda (biasanya 5 hingga 10kg).

* Yang terbaik adalah untuk tidak kehilangan berat badan dengan begitu cepat atau mendadak. Jiika berat anda turun lebih sekilogram seminggu, anda mungkin kehilangan tisu otot-otot dan bukannya lemak yang sepatutnya dihapuskan.
Penurunan berat badan antara setengah hingga 1 kilogram seminggu adalah paling baik. Untuk mencapainya, anda perlu kurangkan antara 500 hingga 1,000 kalori berbanding yang anda ambil sebelumnya. Anda akan kehilangan 6 ke 12kg jika mengekalkan amalan ini sehingga tiga bulan.

* Maklumkan kepada orang lain mengenai rancangan anda mengurangkan berat badan. Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan dapat membantu anda kekal bermotivasi. Anda juga boleh menimbangkan untuk menyertai pusat-pusat kecergasan berhampiran anda.
Untuk mengurangkan berat badan secara berterusan adalah lebih mencabar berbanding menurunkan sedikit berat badan. Sebaik sahaja anda berjaya mengurangkannya, anda mungkin dapat terus menurunkannya dengan lebih stabil dengan syarat, pilih diet sihat, tidak lupa bersenam secara konsisten dan menimbang berat badan seminggu sekali untuk memeriksa berat badan semasa anda. Semoga berjaya!

Jawapan disediakan oleh Pakar Perubatan dan Gasteroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

28 Januari, 2008

Anda Boleh Membantu


21 Januari, 2008

ATUK MERDEKA

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin menjadi kayu.

Jika kau menjadi kayu
Jadilah kayu golf
Disebut kayu tetapi besi
Diulit Dato’, tauke dan menteri
Jangan kau menjadi tunggul!

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin menjadi pagar.

Jika kau menjadi pagar
Jadilah pagar karan
Dipicit suis power berjalan
Dirempuh diusik boleh pengsan
Jangan kau jadi pagar makan padi!

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin menjadi mangkuk.

Jika kau menjadi mangkuk
Jadilah mangkuk purba zaman batu
Buruan ahli arkeologi setiap waktu
Membawa bukti tamadun dan ilmu
Jangan kau menjadi mangkuk hayun!

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin menjadi bintang.

Jika kau menjadi bintang
Jadilah bintang di langit
Tiada boleh ditukar wang ringgit
Tidak boleh dijolok dikait
Jangan jadi bintang tiga!

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin menjadi seluar dalam.

Jika kau menjadi seluar dalam
Jadilah seluar dalam superman
Sarung di luar nampak gentleman
Tiada manusia memberi komen
Jangan kau menjadi seluar dalam model playboy!

Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?

Atukku..
Aku ingin MERDEKA.

Jika kau ingin MERDEKA
Lupakan tentang perarakan di Dataran Merdeka
Simpanlah budget kereta berhias dan pentas lintas hormat
Untuk membeli kayu
Untuk membeli pagar
Untuk membeli mangkuk
Untuk membeli bintang
Untuk membeli seluar dalam
Dan.. Untuk membeli MERDEKA!

UJANG
Kuala Lumpur 1992
Wallahu a’la wa a’lam.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010

























klik gambar di atas

16 Januari, 2008

Belajar daripada Alam Sekitar

Bilakah agaknya waktu paling sesuai mendidik anak mengenai alam semula jadi? Darjah Satu? Tadika? Jawapannya - jauh lebih awal dari itu. Pendidikan alam semula jadi berasaskan pengalaman diri memainkan peranan utama dalam pembentukan sikap, nilai dan bakal mencorak kelakuan seumur hidup terhadap alam sekitar.

Ketua Jabatan Pendidikan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I.S. Shanmugaraj berkata, memandangkan kanak-kanak belajar mengenai alam semula jadi melalui interaksi, maka pendidik dan penjaga perlu menitikberatkan kekerapan serta mutu interaksi kanak-kanak dengan alam semula jadi di awal usianya lagi.

“Ramai kanak-kanak kurang berpeluang mendapat pengalaman sedemikian. Malah, terlalu ramai si kecil tinggal dalam suasana tersisih dari alam semula jadi,” katanya.
Aktiviti lapang mereka biasanya menonton televisyen di rumah, tidak berjalan sebaliknya berkereta atau motosikal ke sana sini dan bila di taska, mereka lebih kerap berada dalam bilik darjah berbanding dengan di luar.

“Akibatnya ramai kanak-kanak berisiko terbantut pertumbuhan sikap serta perasaan positif terhadap alam sekitar atau gagal mencapai kefahaman yang dianggap sihat mengenai alam semula jadi. Tumpuan awal semasa zaman kanak-kanak pada pendidikan alam sekitar sedikit sebanyak menjadi penawar kepada masalah tersebut.”

Langkah pertama, mulakan dengan yang mudah. Si kecil lebih mudah menerima belajar sesuatu yang telah dikenalinya atau kebiasaannya. Contohnya, pokok yang tumbuh di belakang rumah atau taman permainan berdekatan didahulukan sebelum menjelajah lebih jauh.

Bersama Meninjau Alam Sekitar

1. Tanamlah bunga, pokok, rumput, buah atau sayur untuk mendidik anak mengenai pembesaran tumbuhan. Bercucuk-tanam juga memberi pengajaran mengenai cuaca serta peranan tanah, air dan cahaya dalam kehidupan.

2. ‘Pemburu’ serangga. Berbekal balang atau botol jem, galakan si kecil mencari kumbang. Intailah di celahan pokok, bunga dan di bawah tunggul (jangan lupa, kembalikan semula segala yang dibalikkannya). Sentuhlah sang kumbang dengan lembut dan lepaskan semula setelah menyentuhnya.

3. Memerhati alam sekitar dan permainan kordinasi mata-ke-otak. Sebelum ke taman bunga, buatlah ‘teropong’ bersama anak anda menggunakan kadbod gulungan tisu dan hiaskan. Bawa Si Manja keluar meninjau sekitaran mencari objek semula jadi.

4. Dapatkan perspektif baru. Suruh anak berbaring di bawah pohon rendang. Arahkan mereka melihat dahannya. Nampakkah mereka ranting yang tertinggi? Corak apa yang kelihatan? Apa lagi yang ada? Si kecil boleh berolok-olok menjadi akar pokok. Apa rasanya?

5. Gunakan imaginasi. Pilih kawasan tanah berlitup dedaun, rumput dan sebagainya, persilakan si kecil duduk. Beri dia enam batang penyedut minuman atau lidi pengumpil gigi. Berolok-oloklah bersama menjadi semut. Tugas utama anak anda ialah menjadi ‘pemandu pelancong’ kepada semut dengan memilih enam perkara menarik mengenai kawasan laluan berjarak semeter.

6. Buru warna alam. Dapatkan 10 contoh warna berasaskan alam semula jadi dari kedai cat. Berbekal contoh tersebut bawa anak ke taman dan suruh Si Kecil mencari warna tersebut di sekitarnya satu persatu.

7. Tinjauan malam. Tuju sebuah kawasan semula jadi yang selamat di waktu malam. Salut lampu picit dengan plastik berwarna merah supaya ia tidak mengejutkan haiwan yang berkeliaran. Cubalah idea yang terdahulu dari ini untuk mengenal haiwan dan tumbuhan malam.

8. Nikmat hari hujan. Pakai baju hujan (elakkan payung) dan pergi berhujan dengan anak anda. Tinjau lecak, pantau kicau burung dan bunyi katak bersahut. Berapa jenis titisan hujan yang ada agaknya? Nampak daun berhujung tirus menitis air? Selidiki ke mana haiwan lari semasa hujan.

Merangsang Selera Belajar

Si kecil belajar melalui penerokaan sekitaran mulai saat kelahiran mereka, tanpa tandingan, ternyata alam sekitar adalah teman pembelajaran terbaik mereka. Melalui penglihatan, otak segar mereka cepat memproses, mengenal dan memahami persekitaran.
Koordinasi mata-ke-otak ialah kebolehan otak memproses maklumat yang dikumpulkan melalui penglihatan. Oleh itu, pemakanan yang baik di peringkat awal memainkan peranan penting dalam perkembangan koordinasi mata-ke-otak yang lebih baik.

Untuk menjana kebolehan serta minat yang berkembang, kanak-kanak memerlukan banyak asid lemak yang diperolehi melalui susu dan beberapa jenis makanan. Zat makanan seperti asid dokosaheksanoik (DHA), asid arakidonik (AA), Kolina dan Taurina penting bagi membantu perkembangan otak dan penglihatan.

Kombinasi sokongan in bersama adunan unik minyak sayuran yang membantu penyerapan kalsium dan lemak boleh diperoleh melalui susu bersistem Eye-Q Nutrition.

Petikan daripada: ibnuabas.blogspot.com

12 Januari, 2008

Some jokes to brighten your day!

Teacher: History is a very interesting subject. It tells you about what had happened in the past.
Student: Please teacher, I don't think I want to study history.
Teacher: Why?
Student: There is no future in it.
............ ......... ......... ......... ......... ......... ......... ...

Father: Why did you fail your mathematics test?
Son: On Monday, teacher said 3+5=8
Father: So?
Son: On Tuesday, she said 4+4=8 And on Wednesday, she said 6+2=8. If she can't make up her mind, how do I know the right answer?
............ ......... ......... ......... ......... ......... ........

Teacher: Ted, if your father has RM10 and you ask him for RM6, how much would your father still have?
Ted: RM10.
Teacher: You don't know maths.
Ted: You don't know my father!

05 Januari, 2008

RM 20 Sejam


Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut baik oleh anaknya yang berusia 7 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, si anak itu bertanya kepada ayah…..
Anak: Ayah…ayah.. boleh Amin tanya satu soalan?
Ayah: Hmmm….nak tanya apa?
Anak: Ayah…berapa pendapatan ayah sejam di pejabat?
Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya?Si ayah mula menengking.
Anak: Amin saja nak tahu ayah… Tolonglah beritahu berapa pendapatan ayah sejam di pejabat?Si anak mula merayu pada ayahnya.
Ayah: 20 ringgit sejam.. Kenapa nak tahu? Jerkah ayahnya lagi.
Anak: Oh..20 ringgit.. Amin menundukkan mukanya.
Anak: Ayah.. boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit dari ayah? Si ayah mula menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa dengan duit tu? Mintak sampai 10 ringgit? Nak beli mainan lagi?? Ayah penat-penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir ya.. Sudah, pergi masuk bilik.. tidur! Dah pukul berapa nih…!!”Si anak itu terdiam dan perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya yang sekecil itu meminta duit sampai 10 ringgit. Kira-kira 2 jam kemudian, ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah kerana anaknya tak pernah meminta wang sebegitu banyak sebelum ini.
Dengan perasaan bersalah, si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya. Didapati anaknya masih belum tidur. “Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah.. ambil ni” Si ayah mengeluarkan sekeping duit kaler merah. Si anak itu segera bangun dan tersenyum girang.“Terima kasih banyaklah ayah!”
Lalu dia mengangkat bantalnya dan mengeluarkan sekeping nota 10ringgit yang sudah renyuk terhimpit oleh bantal. Bila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu?? Dan dari mana kamu dapat duit tu??”
Amin tunduk… tak berani dia merenung ayahnya.Sambil menggenggam kemas duit itu, dia menerangkan…..”Duit ni Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit kat ayah sebab Amin tak cukup duit…”
“Tak cukup duit nak beli apa??”Jerkah ayahnya lagi.
“Ayah…. sekarang Amin dah ada 20 ringgit..Nah..ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah..”Jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya…

Moral:Kongsilah cerita ni ngan sesapa aje yg anda suka tapi..yang penting sekali, kongsilah masa sebanyak 20 ringgit itu bersama2 dgn insan yang anda sayangi. Ini hanyalah setitis peringatan kepada sesiapa yangbekerja keras sepanjang hidupnya..yang bakal kerja sok lusa… atau sesiapa saja yang selalu sibuk…Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa dinikmati bersama2 dengan mereka2 yang begitu rapat dengan kita..yang sentiasa berada di hati kita..
Bayangkan…bila dah kerja nanti…kalau kita mati..pihak syarikat akan senang2 cari orang lain..gantikan kita.Tapi..keluarga, rakan2 yang kita tinggalkan kat dunia ni pasti akan berasa suatu kehilangan sepanjang hidup mereka…Fikirlah…selama ni…apa yang kita dah buat untuk keluarga kita?.. untuk insan yang kita sayang??