BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

28 Disember, 2007

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat kembali ke sekolah buat seluruh warga pendidikan di SMK Mahang khususnya kepada para pendidik dan pelajar. Semoga semuanya bersemangat, beriltizam tinggi untuk mengharungi tahun 2008 yang akan tiba dua tiga hari lagi. Semoga fokus JPNKedah dan fokus SMKMahang 2008 akan menjadi panduan buat para guru memantapkan P&P mereka. Persiapan dibuat ke arah itu dengan Program Budaya Buka Sekolah membuka tirai pada 26hb Disember 2007. Para guru dan pelajar hadir ke sekolah bagi mengemaskan bilik kelas masing-masing agar proses P&P tidak terganggu apabila sesi persekolahan bermula pada 2hb Januari 2008 nanti. Para pelajar juga menyiapkan keperluan buku dan alat tulis yang dijual di Koperasi SMK Mahang pada hari tersebut.











Tahniah buat seluruh warga SMK Mahang atas peningkatan dalam keputusan peperiksaan PMR 2007 yang diumumkan pada 27 Disember lalu. Sekalung tahniah juga buat 5 orang pelajar pelajar sekolah ini dengan pencapaian 7A (3 orang) dan 6A (2 orang). Semoga kejayaaan yang dicapai menjadi pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun-tahun akan datang.
Mesyuarat Guru SMK Mahang kali pertama bagi sesi akademik 2008 telah diadakan pada 27 Disember 2007 bagi membincangkan agenda pendidikan khususnya di SMK Mahang ini. Amanat Tn. Pengetua, En. Abd Razak b. Wahid dan para pentadbir lain diharapkan dapat memberi panduan kepada para guru dan melicinkan perjalanan aktiviti P&P, HEM, agenda kurikulum dan ko-kurikulum untuk tahun 2008.

SMK Mahang mengucapkan tahniah kepada Pn. Maznah bt Abu Bakar & En. Wan Rani b Hanafiah yang masing-masing dinaikkan pangkat Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Ko-Kurikulum di SK Sg. Taka. Selamat berjaya kepada En. Zainuddin b. Mohamad & En. Rashedi b. Abd Rashid yang bertukar ke daerah PPD Kuala Muda/Yan. Selamat datang diucapkan kepada 2 orang guru baru iaitu, En. Bahrim b. Endut yang bertukar dari SMK Muhibbah, Sg. Siput (U), Perak dan Cik Rohayu bt Awang dari SMJK Pei Yuan, Kuala Dipang, Kampar, Perak. Semoga pengalaman kedua-dua orang guru ini akan membantu meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah ini.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2008!!

25 Disember, 2007

Hebahan 1/2008

1. Budaya Buka Sekolah Sesi Akademik 2008

Tarikh: 26 Disember 2007 (Rabu)
Masa : 8.00 Pagi

2. Mesyuarat Guru Bil. 1 Sesi Akademik 2008

Tarikh: 27 Disember 2007 (Khamis)
Masa: 9.00 Pagi
Tempat: Bilik Mesyuarat SMKM

3. Keputusan PMR 2007

Tarikh: 27 Disember 2007 (Khamis)
Masa: 10.00 Pagi

4. Persekolahan Sesi Akademik 2008

Tarikh: 2 Januari 2008 (Rabu)

19 Disember, 2007

Info Hari Raya Qurban

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah” (Al-Kautsar: 2)

“Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur” (Surah Al-Hajj: 36)

1. SEJARAH KORBAN
Sejarah Korban anak-anak Nabi Adam a.s - Habil dan Qabil
Firman Allah Ta’ala bermaksud:Bacakanlah (Yaa Muhammad) kepada mereka akan cerita yang sebenarnya tentang dua orang anak Nabi Adam (yang bernama Habil dan Qabil) iaitu ketika keduanya mempersembahkan korban (kepada Allah, maka yang seorang dari keduanya (Habil) diterima korbannya sedang yang lain (Qabil) tidak diterima korbannya - sebab itulah Qabil marah kepada Habil seraya berkata: “Nescaya kubunuh engkau!”
Sejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s
Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (anak) daripada golongan orang-orang yang soleh. Maka kami (Allah) gembirakan dia dengan (mendapat) anak yang penyantun. Tatkala sampai (umur) sianak boleh berusaha, berkata Ibrahim: “Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam tidur (mimpi) bahawasanya aku akan menyembelih engkau, oleh sebab itu lihatlah (fikirlah) apa pendapatmu?” (Sianak yakni Nabi Ismail) menjawab: “Wahai bapaku! Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu, nanti engkau akan mendapati aku - insyaAllah daripada golongan orang-orang yang sabar.” (Al-Soffat: 100-102)
Untuk mengetahui kisahnya dengan lebih terperinci, tuan-tuan/puan-puan disarankan untuk membaca kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. InsyaAllah ceritanya menarik untuk dijadikan I’tibar.
2. HIKMAH KORBAN
Menyembelih qurban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syi‘ar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah Ta‘ala yang maksudnya: “Daging dan darah binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu”. (Surah Al-Hajj:37)
Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.
Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.
Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dan banyak lagilah. Bila dapat hayati sejarah korban Habil & Qabil serta kisah Nabi Ibrahim & Ismail … kitakan dapat menghayati/menyelami hikmahnya.
3. DEFINISI KORBAN
Korban bermaksud haiwan yang disembelih kerana ibadah pada Hari Raya Adha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Dzulhijjah dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah Ta’ala (Syeikh Daud al-Fathoni, Furu’ al-Masail, Juz 1: 259).

18 Disember, 2007

Salam Aidil Adha 1428H

Assalamualaikum Salam Sejahtera..

Diam tak diam rasanya bagai baru semalam meraikan Aidilfitri, esok lusa kita bakal meraikan pula Aidiladha, satu lagi hari yang signifikan dengan umat Islam. Sebagaimana Aidilfitri yang dikenali juga Hari Raya Puasa, Adiladha pula lebih dikenal sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Dan sebagaimana Aidilfitri, Aidiladha juga sangat menuntut umat Islam meraikannya dengan penuh insaf, syukur dan tertib tanpa tersasar daripada niat asal ibadah tersebut. Salam Aidil Adha 1428 Hijrah. Moga Allah menerima amalan kita.