BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

15 Disember, 2009

Tahniah!


Seluruh warga SMK Mahang berbangga dengan kemenangan yang dilakar oleh En. Amer Hmzah b. L.Kadir, guru sekolah ini. Sekalung Tahniah!

*********************

Petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Disember 2009:

Guru raih RM15,000 menerusi Kala Yuda

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Karya Kala Yuda ciptaan Amer Hmzah L. Kadir dari Kulim, Kedah diangkat sebagai johan Sayembara Fiksyen, Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Kumpulan Utusan.

Kemenangan itu melayakkan beliau yang merupakan seorang guru di SMK Mahang, Kulim, Kedah meraih wang tunai RM15,000.

Tempat kedua dimenangi Nurul Izwati Mohd. Nor dari Jengka, Pahang dengan karyanya bertajuk Sentinel: Kronikel Bumi manakala Tawanan Kota Kumbang, karya Ruzaini Yahya dari Muar, Johor di tempat ketiga.

Kedua-duanya juga adalah guru dan masing-masing menerima RM7,500 dan RM5,000.

Karya Petaka Bakteria oleh Mohd. Kasim Mahmud dan Rawan oleh Hafizah Iszahanid pula dipilih penerima hadiah penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara ini akan diadakan pada Februari depan.

Keputusan nama-nama pemenang itu diumumkan Pengerusi Panel Hakim, Profesor Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar di UTM Jalan Semarak hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Selain itu ialah Pengarah Penerbit UTM Press selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sayembara, Prof. Dr. Hisamuddin Jamaluddin dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Dilancarkan pada 10 Februari lalu, sayembara ini merupakan kerjasama UTM dan Kumpulan Utusan yang bertujuan meningkatkan martabat bidang penulisan tanah air.

Sempena penganjuran sayembara itu, satu siri jelajah seluruh negara mengenai bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi diadakan.

Menurut Ahmad, sayembara kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 22 manuskrip diterima selepas tarikh tutup pada 31 Ogos lalu.

''Bilangan penyertaan melebihi jangkaan penganjur memandangkan sayembara ini masih baru dan belum pun setahun jagung,'' katanya.

Beliau menambah, penyertaan kali ini meliputi pelbagai latar belakang termasuk penuntut institusi pengajian tinggi, wartawan, penulis sepenuh masa, pensyarah, jurutera hatta pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, Zaini berkata, pihaknya berhasrat mengetengahkan kategori baru melibatkan penyertaan pelajar sekolah pada penganjuran sayembara akan datang.

''Perkara ini masih dalam perhatian kerana kita difahamkan terdapat ramai pelajar yang berminat menyertai sayembara ini,'' katanya.

Dalam masa sama, beliau menjangkakan penyertaan sayembara musim kedua akan mula dibuka pada pertengahan tahun 2011.

''Penyertaan itu akan dibuka selepas penganjuran bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi ke seluruh negara selama setahun setengah dari awal tahun 2010 sehingga pertengahan 2011,'' ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, Kumpulan Utusan berbangga kerana dapat menjalin kerjasama kali pertama dengan UTM dalam penganjuran sayembara itu.

''Ia memberi peluang kepada kedua-dua organisasi yang berlainan latar belakang itu bertukar-tukar idea bagi membantu meningkatkan lagi perkembangan budaya sastera negara,'' katanya.